Tambahbaik Skim Perkhidmatan Gred 19 - CEUPACS

News

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menambahbaik skim

perkhidmatan gred 19, melibatkan lebih 100,000 pembantu tadbir dalam sektor kerajaan termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Timbalan Presiden I Ceupacs Mohd Shaman Jaes berkata walaupun kakitangan gred 19 baharu menikmati kenaikan gred daripada gred 17 pada tahun lalu, namun kenaikan itu tidak banyak membantu terutamanya untuk mereka yang menetap di bandar besar.


"Penambahbaikan juga perlu dilakukan mengambil kira beban kerja mereka yang saban tahun makin bertambah. Peranan yang dimainkan pembantu tadbir dalam apa juga sektor adalah penting.
"Semakan ini boleh dilakukan kerana terdapat gred 20 dan 26 yang boleh dipertimbangkan. Jika mereka mempunyai diploma, berilah mengikut taraf diploma dan jika tiada, boleh membuat perkiraan menerusi pengalaman kerja," katanya.


Mohd Shaman berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi-Tahunan Ke-13 Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia (KEPTAKES) di Kuantan semalam.


Mohd Shaman berkata berdasarkan skim sekarang, kakitangan gred 19 memperoleh gaji termasuk elaun antara RM1,700 ke RM1,900, yang masih dianggap sukar untuk membantu mereka yang bekerja di bandar utama negara. 


"Selain kos sara hidup yang semakin meningkat, wang itu juga perlu dibelanjakan untuk membayar hutang rumah, kenderaan, pendidikan jika ada dan juga hutang peribadi yang sudah pasti tidak mencukupi terutama kepada mereka yang berkeluarga," katanya.


Mohd Shaman menambah isu penambahbaikan gred 19 pernah disuarakan sebelum ini, dan berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama dengan cadangan mewujudkan gred 28, yang telah lebih setahun dirancang.


Selain itu, Mohd Shaman juga memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya saguhati persaraan dibenarkan untuk dipindahkan ke Tabung Haji pada usia 40 tahun bagi membantu kakitangan kerajaan menunaikan haji.


"Bagaimanapun, wang itu hendaklah disyaratkan hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan haji kerana kita tidak mahu ada yang menggunakan wang itu untuk tujuan lain," katanya.
Mohd Shaman menambah cadangan itu juga membolehkan kakitangan kerajaan menggunakan faedah cuti bergaji selama 40 hari bagi menunaikan haji yang diperuntukkan kepada mereka, selain berpeluang beribadat dalam usia muda.

 

 

 

Presiden Kesatuan

"Kejayaan tidak datang dengan sendirinya tanpa adanya pengorbanan. Kepuasan hanya akan lahir jika kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada."

Muhammad Khairul Azhar Jamil

Hubungi Kami

 This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
  603-8891-8000
  603-8891-8999
  Aras 6, No. 2, Menara 1 (KPK), Jalan P5/6, Presint 5 62200 Putrajaya

Media Sosial